Sabtu, 27 Agustus 2011

Solehuddin Al Ayubi


Solehuddin Al Ayubi (part iii)

Ogos 26, 20111 komen
Sultan Solahuddin Al Ayubi- gambaran pelukis
Salam. Di hujung Ramadhan, ada program penting pula. Atk. Doakan anjang, tak tau nasib anjang hari ni. Orang Melayu cakap untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Dalam
Kehidupan Orang Melayu lama, semua yang berlaku dikira untung. Mungkin kerana sangat yakin pada Tuhan. Timbul pun untung, tenggelam pun untung. Sebab tu kalau accident, biasa kita dengar, nasib baik kereta je remuk, orang tak apa-apa. Kalau luka, nasib baik cedera ringan, buatnya kalau patah. Kalau patah, ada lah patah sikit, nasib baik tak parah ke buta. Kalau parah, nasib baik tak mati. Hatta kalau mati pun, nasib baik mati, sebab budak tu bukan ada lesen pun. Kalau tak susah… Mudah-mudahan apa yang akan berlaku, pandai kita menerimanya dari Tuhan. A tolonglah beri jiwa yang cinta dan komited pada perjuangan Islam seperti BUJ. A tolonglah beri rasa hati yang sepatutnya dimiliki oleh semua murid terhadap guru mursyidnya.
perang salib
Oleh kerana masa yang terhad, kita akan sambung terus kisah Sultan yang berani dan adil, Solahuddin Al Ayubi. Moga-moga keberkatan menceritakannya orang soleh menurunkan rahmat Tuhan.
Setelah merasa kuat, Sultan Solahuddin menumpukan perhatiannya untuk memusnahkan tentera Salib yang menduduki Baitul Maqdis dan merebut kota Suci itu semula. Banyak rintangan dan ujian yang dihadapi olehnya sebelum cita-cita suci itu tercapai. Siasah yang mula-mula dijalankannya adalah mengajak tentera Salib untuk berdamai. Pada lahirnya, kaum Salib memandang bahawa Solahuddin telah menyerah kalah, lalu mereka menerima perdamaian ini dengan sombong. Sultan sudah menjangka bahawa orang-orang kafir Kristian itu akan mengkhianati perjanjian, maka ini akan menjadi alasan bagi beliau untuk melancarkan serangan. Untuk ini, beliau telah membuat persiapan secukupnya.
Gambaran Perang Salib
Ternyata memang betul, baru sebentar perjanjian ditandatangani, kaum Salib telah melakukan pelanggaran. Maka Sultan Solahuddin, segera bergerak melancarkan serangan, tapi kali ini masih gagal dan beliau sendiri hampir kena tawan. Beliau kembali ke pusat pemerintahannya dan menyusun kekuatan yang lebih besar.
Suatu kejadian yang mengejutkan Sultan dalam suasana perdamaian adalah tindakan seorang panglima Salib Count Rainald de Chatillon yang bergerak dengan pasukannya untuk menyerang kota Suci Makkah dan Madinah. Akan tetapi pasukan ini hancur binasa digempur mujahid Islam di laut Merah dan Count Rainald dan sisa pasukannya balik ke Jerussalem. Dalam perjalanan, mereka telah berjumpa  dengan satu kafilah kaum Muslimin yang di dalamnya terdapat seorang saudara perempuan Sultan Solahuddin. Tanpa berfikir panjang, Count dan kuncu-kuncunya menyerang kafilah tersebut dan menawan mereka termasuk saudara perempuan Solahuddin.
Dengan angkuh dan penuh ejekan Count berkata: “Panggillah Muhammad untuk menyelamatkan kamu!!”
Seorang anggota kafilah yang dapat meloloskan diri terus lari dan melapor kepada Sultan apa yang telah terjadi. Sultan sangat marah terhadap penghinaan terhadap Rasulullah saw dan pencabulan gencatan senjata itu dan dan bersumpah tidak akan senyum lagi sehingga berjaya menawan Baitul Maqdis dan membunuh kafir keparat itu dengan tangannya sendiri. Baginda mengirim perutusan ke Jerussalem agar semua tawanan dibebaskan. Tapi mereka tidak memberikan jawapan. Ekoran kejadian ini, Sultan keluar membawa pasukannya untuk menghukum kaum Salib yang sering mengkhianati janji itu. Terjadilah pertempuran yang sangat besar di gunung Hittin sehingga dikenal dengan Perang Hittin.
Dalam pertempuran ini, Solahuddin menang besar. Pasukan musuh yang berjumlah 45,000 orang hancur binasa dan hanya tinggal beberapa ribu saja yang sebagian besarnya menjadi tawanan termasuk Count Rainald de Chatillon sendiri. Semuanya dibawa ke Damascus. Count Rainald yang telah menawan saudara perempuan Sultan dan mempersendakan Nabi Muhammad itu digiring ke hadapan beliau.
“Nah, bagaimana jadinya yang telah nampak oleh engkau sekarang? Apakah saya tidak cukup   menjadi pengganti Nabi Besar Muhammad untuk melakukan pembalasan terhadap berbagai penghinaan engkau itu?” tanya Sultan Solahuddin.
Solahuddin mengajak  Count agar masuk Islam, tapi dia tidak mahu. Maka dia pun dihukum bunuh kerana telah menghina Nabi Muhammad.
Setelah melalui berbagai peperangan dan menakluk berbagai benteng dan kota, sampailah Sultan Solahuddin pada matlamat utamanya iaitu merebut Baitul Maqdis. Kini beliau mengepung Jerussalem selama empat puluh hari membuat penduduk di dalam kota itu tidak dapat berbuat apa-apa dan kekurangan keperluan asas. Waktu itu Jerussalem dipenuhi dengan kaum pelarian dan orang-orang yang selamat dalam perang Hittin. Tentera pertahanannya sendiri tidak kurang dari 60,000 orang.
Pada mulanya Sultan menyerukan seruan agar kota Suci itu diserahkan secara damai. Beliau tidak ingin bertindak seperti yang dilakukan oleh Godfrey dan orang-orangnya pada tahun 1099 untuk membalas dendam. Akan tetapi pihak Kristian telah menolak tawaran baik dari Sultan, bahkan mereka mengangkat Komandan Perang untuk mempertahankan kota itu. Kerana mereka menolak seruan, Sultan Solahuddin pun bersumpah akan membunuh semua orang Kristian di dalam kota itu sebagai membalas tindakan mereka pada peristiwa 90 tahun yang lalu. Mulailah pasukan kaum Muslimin melancarkan serangan ke atas kota itu dengan anak panah dan manjanik.
Kaum Salib membalas serangan itu dari dalam benteng. Setelah berlangsung serangan selama empat belas hari, kaum Salib melihat bahawa pintu benteng hampir musnah oleh serangan kaum Muslimin. Para pemimpin kaum Salib mulai merasa takut melihat kegigihan dan kekuatan pasukan Muslim yang hanya tinggal menunggu masa untuk melanggar masuk. Beberapa pemimpin Kristian telah keluar menemui Sultan Solahuddin menyatakan hasratnya untuk menyerahkan kota Suci secara aman dan minta agar nyawa mereka diselamatkan.
Akan tetapi Sultan menolak sambil berkata: “Aku tidak akan menaklukkan kota ini kecuali dengan kekerasan sebagaimana kamu dahulu menaklukinya dengan kekerasan. Aku tidak akan membiarkan seorang Kristian pun melainkan akan kubunuh sebagaimana engkau membunuh semua kaum Muslimin di dalam kota ini dahulu.”
Setelah usaha diplomatik mereka tidak berhasil, Datuk Bandar Jerussalem sendiri datang menghadap Sultan dengan merendah diri dan minta dikasihani, memujuk dan merayu dengan segala cara. Sultan Solahuddin tidak menjawabnya.
Akhirnya ketua Kristian itu berkata: “Jika tuan tidak mahu berdamai dengan kami, kami akan balik dan membunuh semua tahanan (terdiri dari kaum Muslimin seramai 4000 orang) yang ada pada kami. Kami juga akan membunuh anak cucu kami dan perempuan-perempuan kami. Setelah itu kami akan binasakan rumah-rumah dan bangunan-bangunan yang indah-indah, semua harta dan perhiasan yang ada pada kami akan dibakar. Kami juga akan memusnahkan Kubah Shahra’, kami akan hancurkan semua yang ada sehingga tidak ada apa-apa yang boleh dimanfaatkan lagi. Selepas itu, kami akan keluar untuk berperang mati-matian, kerana sudah tidak ada apa-apa lagi yang kami harapkan selepas ini. Tidak seorang pun boleh membunuh kami sehingga sebilangan orang-orang tuan terbunuh terlebih dahulu. Nah, jika demikian keadaannya, kebaikan apalagi yang tuan boleh harapkan?”
Setelah mendengar kata-kata nekad dan ugutan itu, Sultan Solahuddin menjadi lembut dan kasihan dan bersedia untuk memberikan keamanan. Beliau meminta nasihat para ulama yang mendampinginya mengenai sumpah berat yang telah diucapkannya. Para ulama mengatakan bahawa beliau mesti menebus sumpahnya dengan membayar Kifarah sebagaimana yang telah disyariatkan.
Maka berlangsunglah penyerahan kota secara aman dengan syarat setiap penduduk mesti membayar wang tebusan. Bagi lelaki wajib membayar sepuluh dinar, perempuan lima dinar dan kanak-kanak dua dinar sahaja. Barangsiapa yang tidak mampu membayar tebusan, akan menjadi tawanan kaum Muslimin dan berkedudukan sebagai hamba. Semua rumah, senjata dan alat-alat peperangan lainnya mesti ditinggalkan untuk kaum Muslimin. Mereka boleh pergi ke mana-mana tempat yang aman untuk mereka. Mereka diberi tempoh selama empat puluh hari untuk memenuhi syarat-syaratnya, dan barangsiapa yang tidak sanggup  menunaikannya sehinnga lewat dari waktu itu, ia akan menjadi tawanan. Ternyata ada 16,000 orang Kristian yang tidak sanggup  membayar wang tebusan. Semua mereka ditahan sebagai hamba.
Maka pada hari Jumaat 27 Rejab 583 Hijrah, Sultan Solahuddin bersama kaum Muslimin memasuki Baitul Maqdis. Mereka melaungkan “Allahu Akbar” dan bersyukur kehadrat Allah s.w.t. Air mata kegembiraan menitis di setiap pipi kaum Muslimin sebaik saja memasuki kota itu. Para ulama dan solehin datang mengucapkan tahniah kepada Sultan Solahuddin di atas perjuangannya yang telah berhasil. Apalagi tarikh tersebut bersamaan dengan tarikh Israk Nabi S.A.W dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Pada  hari Jumaat tersebut, kaum Muslimin tidak sempat melaksankan solat Jumaat di Masjidil Aqsa kerana sempitnya waktu. Mereka terpaksa membersihkan Masjid Suci itu dari babi, kayu-kayu salib, gambar-gambar rahib dan patung-patung yang dipertuhan oleh kaum Kristian. Barulah pada Jumaat berikutnya mereka melaksanakan solat Jumaat di Masjidil Aqsa buat pertama kalinya dalam masa 92 tahun. Kadhi Muhyiddin bin Muhammad bin Ali bin Zaki telah bertindak selaku khatib atas izin Sultan Solahuddin.
Ok. Itu sahaja kali ini. Ada program. Jumpa lagi.
9.17am, Ogo 26, 2011
Anjangmuor.wordpress.com

Solehuddin Al Ayubi (part ii)

Ogos 25, 20111 komen
'Seruan Jihad telah memanggil kita'
Salam ceria, salam akhir Ramadhan. Malam tadi tengok National Geografi tentang sambutan raya orang-orang kampung di Malaysia. Allah, teringat tanah air. Teringat Kampung Tengah, Bakri. Teringat Batu Hampar…Zar pulak baru bb dari kedai songkok Yus di Taiping. ‘Di hari raya, terkenang daku kepada si dia, kampungku indah nun jauh di sana Ayah serta bondaku…Apakan daya, masa tak akan kembali…Dendang Perantau.’ , ok tak leh layan sangat jiwa jiwang-jiwang ni. Tengah cite panglima besar, ingat takbir ala Malaysia…. Kacau. •нëнëнëнëнë•‎​•нëнëнëнëнë•‎​ .Ok, korang dah habis baca part i? Kalau tak baca lagi, terputus, tak faham nanti.!!
Tak kenal maka tak cinta, mari kita mengenali Sultan Solahuddin Al Ayubi. Namanya Solahuddin Yusuf bin Najmuddin Ayyub dilahirkan di Tikrit, Irak pada tahun 532 Hijrah /1138 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 589 H/1193 M di Damsyik.
Solahuddin dilahirkan dari keluarga berbangsa Kurdi di kota Tikrit lebih kurang 140km barat laut kota Baghdad, dekat sungai Tigris (sama tempat kelahiran dengan bekas presiden Iraq yang terkenal Saddam Hussein). Semasa dilahirkan keluarganya dihalau dari Tikrit oleh pemerintah Baghdad kerana dituduh penghianat. Dalam perjalanan ke Alleppo (Halab, Syria) Salahudin dilahirkan sehingga ayahnya berkata anakku ini dilahirkan ketika aku dalam kesusahan. Aku bimbang kelahirannya membawa maksud tidak baik. Tiada siapa menyangka bayi itu bakal menjadi pahlawan terbilang. Ya, korang tengoklah, kesusahan adalah ‘guru’ yang baik, kalau pandai menerimanya. Seperti Abuya putera Pilin, siapa sangka berjaya membina jemaah yang dihormati kawan ditakut lawan, bahkan selepas pemergiannya jemaahnya semakin mengugat yahudi dan wahabi.
'Terima kasih Abuya kerana mengenalkan kami siapa Sultan Solahuddin Al Ayubi'
Masa kecilnya selama sepuluh tahun dihabiskan dengan belajar di Damascus di lingkungan anggota dinasti Zengki yang memerintah Syam (sekarang Syria), iaitu Nuruddin Zengki.
Selain belajar ilmu-ilmu Islam, Solahuddin juga mendapat ilmu dan latihan ketenteraan dari bapa saudaranya Asaduddin Syirkuh, seorang panglima perang Turki Seljuk. Pada tahun 558 H/1163 Masihi, panglima Asaduddin membawa Solahuddin Al Ayubi yang ketika itu berusia 25 tahun ke Mesir.
Di Mesir Solahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Dia bertambah warak dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Dia mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup sederhana yang menjadi contoh kepada tenteranya. Dia menumpukan seluruh tenaganya untuk membina kekuatan Islam bagi menawan semula Jerusalem.
Langkah pertama panglima Asaddudin Syirkuh ialah untuk menundukkan Daulah Fatimiyah di Mesir yang diperintah oleh Aliran Syiah Ismailiyah yang semakin lemah. Usahanya membuahkan kejayaan. Khalifah Daulah Fatimiyah terakhir Adhid Lidinillah dipaksa oleh Asaduddin Syirkuh untuk menandatangani perjanjian. Akan tetapi, Wazir (menteri) besar Shawar merasa cemburu melihat Syirkuh semakin popular di kalangan istana dan rakyat.
Dengan senyap-senyap dia pergi ke Baitul Maqdis dan meminta bantuan dari pasukan Salib untuk menghalau Syirkuh daripada berkuasa di Mesir. Pasukan Salib yang dipimpin oleh King Almeric dari Jerussalem (Baitul Maqdis) menerima baik jemputan itu. Maka terjadilah pertempuran antara pasukan Asaduddin dengan King Almeric yang berakhir dengan kekalahan Asaduddin. Setelah menerima syarat-syarat damai dari kaum Salib, panglima Asaduddin dan Solahuddin dibenarkan balik ke Damsyik.
Kerjasama Wazir besar Shawar dengan orang kafir itu telah menimbulkan kemarahan Amir Nuruddin Zengki dan para pemimpin Islam lainnya termasuk Kerajaan Abbasiyah di Baghdad. Lalu dipersiapkannya tentera yang besar yang tetap  dipimpin oleh panglima Syirkuh dan Shalahuddin Al Ayubi untuk menghukum si pengkhianat Shawar. King Almeric terburu-buru menyiapkan pasukannya untuk melindungi Wazir Shawar setelah mendengar kemaraan pasukan Islam. Akan tetapi Panglima Syirkuh kali ini bertindak lebih pantas dan berjaya mengalahkan pasukan King Almeric dan menghalaunya dari bumi Mesir dengan aib sekali.
Panglima Syirkuh dan Solahuddin terus mara ke ibu kota Kaherah dan mendapat tentangan dari pasukan Wazir Shawar. Akan tetapi pasukan Shawar hanya dapat bertahan sebentar saja, dia sendiri melarikan diri dan bersembunyi. Khalifah Al-Adhid Lidinillah terpaksa menerima dan menyambut kedatangan panglima Syirkuh buat kali kedua.
Suatu hari panglima Solahuddin Al Ayubi menziarahi ke kubur seorang wali Allah di Mesir, ternyata Wazir Besar Shawar dijumpai bersembunyi di situ. Shalahuddin segera menangkap Shawar, dibawa ke istana dan kemudian dihukum bunuh.
Khalifah Al-Adhid melantik panglima Asaduddin Syirkuh menjadi Wazir Besar menggantikan Shawar. Wazir Baru itu segera melakukan pemulihan dan pembersihan pada setiap institusi kerajaan secara berperingkat. Sementara anak saudaranya, panglima Solahuddin Al Ayubi diperintahkan membawa pasukannya mengadakan pembersihan di kota-kota sepanjang sungai Nil sehingga Aswan di sebelah utara dan bandar-bandar lain termasuk bandar perdagangan Iskandariah.
Wazir Besar Syirkuh tidak lama memegang jawatannya, kerana beliau meninggal dunia pada tahun 565 H/1169 M. Khalifah Al Adhid melantik panglima Solahuddin Al Ayubi menjadi Wazir Besar menggantikan Syirkuh dengan mendapat persetujuan pembesar-pembesar Kurdi dan Turki. Walaupun berkhidmat di bawah Khalifah Daulah Fatimiyah, Solahuddin tetap  menganggap Amir Nuruddin Zengki sebagai ketuanya.
Nuruddin Zengki berulang kali mendesak Solahuddin agar menangkap Khalifah Al Adhid dan mengakhiri kekuasaan Daulah Fatimiyah untuk seterusnya diserahkan semula kepada Daulah Abbasiyah di Baghdad. Akan tetapi Solahuddin yang dibantu Tuhan dengan kebijaksanaan tidak mahu bertindak terburu-buru, beliau memperhatikan keadaan sekelilingnya sehingga musuh-musuh dalam selimut betul-betul lumpuh.
Pada tahun 567 H/1171 Masihi, barulah Solahuddin mengumumkan berakhirnya Daulah Fatimiyah dan kekuasaan diserahkan semula kepada Daulah Abbasiyah. Maka doa untuk Khalifah Al Adhid pada khutbah Jumaat hari itu telah ditukar kepada doa untuk Khalifah Al Mustadhi dari Daulah Abbasiyah.
Ketika pengumuman peralihan kuasa itu dibuat, Khalifah Al Adhid sedang sakit kuat, sehingga beliau tidak mengetahui perubahan besar yang berlaku di dalam negaranya dan tidak mendengar bahawa Khatib Jumaat sudah tidak mendoakan dirinya lagi. Sehari selepas pengumuman itu, Khalifah Al-Adhid meninggal dunia dan dikebumikan sebagaimana kedudukan sebelumnya, yakni sebagai seorang Khalifah.
Dengan demikian berakhirlah kekuasaan Daulah Fatimiyah yang dikuasai oleh kaum Syiah selama 270 tahun. Keadaan ini sememangnya telah lama ditunggu-tunggu oleh golongan Ahlussunnah di seluruh negara Islam lebih-lebih lagi di Mesir sendiri. Apalagi setelah Wazir Besar Shawar berkomplot dengan kaum Salib musuh Islam. Kembalinya kekuasaan kepada golongan Sunni itu telah disambut meriah di seluruh wilayah-wilayah Islam, lebih-lebih di Baghdad dan Syam atas restu Khalifah Al Mustadhi dan Amir Nuruddin Zengki.
Mereka sangat berterima kasih kepada Panglima Solahuddin Al Ayubi yang dengan kebijaksanaan dan kepintarannya telah menukar suasana itu secara aman damai. Tanpa pertumpahan darah. Serentak dengan itu pula, Wazir Besar Solahuddin Al Ayubi telah merasmikan Universiti Al Azhar yang selama ini dikenal sebagai pusat pengajian Syiah kepada pusat pengajian Ahlussunnah Wal Jamaah. Semoga Allah membalas jasa-jasa Solahuddin.
Walaupun sangat pintar dan bijak mengatur strategi dan berani di medan tempur, Solahuddin berhati lembut, tidak mahu menipu atasan demi  kekuasaan dunia. Beliau tetap  setia pada atasannya, tidak mahu merampas kuasa untuk kepentingan peribadi. Kerana apa yang dikerjakannya selama ini hanyalah mencari peluang untuk menghalau tentera Salib dari bumi Baitul Maqdis. Untuk tujuan ini, beliau berusaha menyatu padukan wilayah-wilyah Islam terlebih dahulu, kemudian menghapuskan para pengkhianat agama dan negara agar peristiwa Wazir Besar Shawar tidak berulang lagi.
Dalam bulan Zulkaedah 570 Hijrah (Mei 1175 Masihi), Khalifah Abbasiyyah mengisytiharkan Solahuddin Al Ayubi sebagai Sultan Mesir dan menggelarkan dirinya sebagai Sultan Al Islam wal Muslimin. Pada tahun itu juga beliau membina kota pertahanan di Kaherah.
Di Mesir, setelah beliau berkuasa penuh, tetapi beliau masih tetap  taat setia pada kepimpinan Nuruddin Zengki dan Khalifah Abbasiyah di Baghdad. Pada tahun 1173 M, Amir Nuruddin Zengki wafat dan digantikan oleh puteranya Ismail yang ketika itu baru berusia 11 tahun dan bergelar Mulk al Soleh. Para ulama dan pembesar menginginkan agar Amir Solahudin mengambil alih kuasa kerana tidak suka kepada Mulk al Soleh keran selalu cuai melaksanakan tanggungjawabnya dan suka bersenang-senang. Akan tetapi Solahuddin tetap  taat setia dan mendoakan Mulk al Soleh dalam setiap khutbah Jumaat, bahkan mengabadikannya pada mata wang syiling.
Apabila Damsyik terdedah pada serangan kaum Salib, barulah Solahudin menggerakkan pasukannya ke Syam untuk mempertahankan kota itu daripada jatuh. Tidak lama kemudian Ismail wafat, maka Solahuddin menyatukan Syam dengan Mesir dan menubuhkan Imarah Al Ayyubiyah dengan beliau sendiri sebagai Amirnya yang pertama. Tiada berapa lama kemudian, Sultan Solahuddin berjaya menggabungkan negeri-negeri An Nubah, Sudan, Yaman dan Hijaz ke dalam kekuasaannya yang besar. Negara di Afirka yang telah diduduki oleh askar Salib dari Normandy, juga telah dapat direbutnya dalam masa yang singkat. Dengan ini kekuasaan Solahuddin telah cukup   besar dan kekuatan tenteranya cukup   ramai untuk mengusir tentera kafir Kristian yang menduduki Baitul Maqdis selama berpuluh tahun.
Sifatnya yang lemah lembut, zuhud, wara’ dan sederhana membuat kaum Muslimin di bawah kekuasaannya sangat mencintainya. Demikian juga para ulama sentiasa mendoakannya agar cita-cita sucinya untuk merampas semula Tanah Suci berhasil dengan segera.
Ok, dah panjang sangat. Korang macam tak semangat je baca. Mungkin kerana hati sangat cemas sekarang. Cemas dengan Tuhan tu bagus. Mari kita banyakkan doa di bulan yang mulia ini.. A tolong jadikan hati kami seperti hati Sultan Solehuddin Al Ayubi. A tolong jadikan hati kami seperti hati BUJ yang sangat cintakan perjuangan PBT, sangat komited dalam perjuangan dan pengorbanan. Wahai NM tolong rawat dan sehatkan KB dari segala serangan sihir yahudi. Jangan lupa pagar diri dulu,
Tangan kanan anjang kebas dari malam tadi sebab lalai, tak pagar. Atk.
Kita sambung lepas ni ye…
Ikhwan homestay, Dansyik, Syria.
9.01am Ogo 25, 2011
Anjangmuor.wordpress.com

Solahuddin Al Ayubi (part i)

Gambar Hiasan -Perang Jihad
Salam ceria. Pada semua remaja GISB satu dunia. Mudah-mudahan kita saling doa mendoakan sesama kita di era yang sangat mencemaskan ini. Atk. Abuya beritau kita malah khasnya Pak Ya Pekida, bahawa Abuya akan mati di Baitul Maqdis. Dari kecil, di yayasan Al Arqam lagin kita semua memang bercita-cita menjadi Ikhwan. Tentera Al Mahdi, pembebas Baitul Maqdis dari Yahudi. Bercakap tentang Baitul Maqdis, kita tak boleh pisahkan dari panglima perang yang sangat terkenal, Sultan Solahuddin Al Ayubi.
Kali pertama anjang jejakkan kaki di benua Afrika, di tanah Mesir (banyak pasir, bukan tanah pun •нëнëнëнëнë•‎​•нëнëнëнëнë•‎​ ) pada bulan 10, 1989 antara yang menjadi kebanggan anjang sebagai orang Islam ialah kehebatan Solehuddin membina benteng ketenteraannya di Mesir. Rupanya ketika ke Jordan dan Syria, banyak benteng-benteng dan kota-kota yang dinamakan dengan nama baginda. Lebih-lebih lagi, maqamnya ada di Damsyik ni… Rasanya tak patut kalau anjang tak coretkan sejarah agung baginda yang Abuya selalu sebut sebagai salah seorang pemimpin yang adil. Ok. Selamat membaca.
Pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab (13-23 H/634-644 M). Baitul Maqdis dapat dikuasai oleh kaum muslimin dalam suatu penyerahan kuasa secara damai. Sayidina Umar sendiri datang ke Baitul Maqdis untuk menerima penyerahan kota Suci itu atas desakan dan persetujuan Uskup Agung Sophronius.
Berabad abad lamanya kota itu berada di bawah pentadbiran Islam, tapi penduduknya bebas memeluk agama dan melaksanakan ajaran agamanya masing-masing tanpa ada gangguan. Orang-orang Kristian dari seluruh dunia juga bebas datang untuk mengerjakan haji di kota Suci itu dan mengerjakan upacara keagamaannya.
Orang-orang Kristian dari Eropah datang mengerjakan haji (haji kristian) dalam jumlah rombongan yang besar dengan membawa obor dan pedang seperti tentera. Sebahagian dari mereka mempermainkan pedang dengan dikelilingi pasukan gendang dan seruling dan diiringkan pula oleh pasukan bersenjata lengkap.
Sebelum Baitul Maqdis ditadbir Kerajaan Seljuk pada tahun 1070, upacara seperti itu dibiarkan saja oleh umat Islam, kerana dasar toleransi agama. Setelah Kerajaan Seljuk memerintah, upacara seperti itu dilarang dengan alasan keselamatan. Mungkin kerana upacara tersebut semakin berbahaya. Lebih-lebih lagi kumpulan-kumpulan yang mengambil bahagian dalam upacara itu sering menyebabkan pergaduhan dan huruhara. Disebutkan bahawa pada tahun 1064 ketua Uskup memimpin pasukan seramai 7000 orang jemaah haji yang terdiri dari kumpulan Baron-baron dan para pahlawan telah menyerang orang-orang Arab dan orang-orang Turki.
Tindakan Seljuk  itu  menjadi salah anggapan  oleh orang-orang Eropah. Pemimpin-pemimpin agama mereka menganggap bahwa kebebasan agamanya diganggu oleh orang-orang Islam dan menyeru agar Tanah Suci itu dibebaskan dari genggaman umat Islam. Patriach Ermite adalah paderi yang paling lantang membangkitkan kemarahan umat Kristian. Dalam usahanya untuk menarik simpati umat Kristian, Ermite telah berkeliling Eropah dengan mengenderai seekor keldai sambil memikul kayu Salib besar, berkaki ayam dan berpakaian compang camping. Dia telah berpidato di hadapan orang ramai sama ada di dalam gereja, di jalan-jalan raya atau di pasar-pasar. Katanya, dia melihat pencerobohan kesucian ke atas kubur Nabi Isa oleh Kerajaan Turki Seljuk. Diceritakan bahawa jemaah haji Kristian telah dihina, dizalimi dan dinista oleh orang-orang Islam di Baitul Maqdis. Serentak dengan itu, dia menggalakkan orang ramai agar bangkit menyertai perang untuk membebaskan Jerussalem dari tangan orang Islam. Hasutan Ermite berhasil dengan menggalakkan
Paus Urbanus II mengumumkan ampunan seluruh dosa bagi yang bersedia dengan sukarela mengikuti Perang Suci itu, sekalipun sebelumnya dia merupakan seorang perompak, pembunuh, pencuri dan sebagainya. Maka keluarlah ribuan umat Kristian untuk mengikuti perang dengan memikul senjata untuk menyertai perang Suci. Mereka yang ingin mengikuti perang ini diperintahkan agar meletakkan tanda Salib di badannya, oleh kerana itulah perang ini disebut Perang Salib.
Paus Urbanus menetapkan tarikh 15 Ogos 1095 bagi keberangkatan tentera Salib menuju Timur Tengah, tapi kalangan awam sudah tidak sabar menunggu lebih lama lagi setelah dijanjikan dengan berbagai kebebasan, kemewahan dan habuan. Mereka mendesak Paderi Patriach Ermite agar berangkat memimpin mereka. Maka Ermite pun berangkat dengan 60,000 orang pasukan, kemudian disusul oleh kaum tani dari Jerman seramai 20.000, datang lagi 200,000 orang menjadikan jumlah keseluruhannya 300,000 orang lelaki dan perempuan. Sepanjang perjalanan, mereka diizinkan merompak, memperkosa, berzina dan mabuk-mabuk. Setiap penduduk negeri yang dilaluinya, selalu mengalu-alukan dan memberikan bantuan seperlunya.
Akan tetapi sesampainya di Hongaria dan Bulgaria, sambutan sangat dingin, menyebabkan pasukan Salib yang sudah kekurangan makanan ini marah dan merampas harta benda penduduk. Penduduk di dua negeri ini tidak tinggal diam. Walau pun mereka sama-sama beragama Kristian, mereka tidak senang dan bertindak balas. Terjadilah pertempuran sengit dan pembunuhan yang mengerikan. Dari 300,000 orang pasukan Salib itu hanya 7000 sahaja yang selamat sampai di Semenanjung Thracia di bawah pimpinan sang Rahib.
Ketika pasukan Salib itu telah mendarat di pantai Asia kecil, pasukan kaum Muslimin yang di pimpin oleh Sultan Kalij Arselan telah menyambutnya dengan hayunan pedang. Maka terjadilah pertempuran sengit antara kaum Salib dengan pasukan Islam yang berakhir dengan hancur binasanya seluruh pasukan Salib itu.
Perang salib
Setelah kaum itu musnah sama sekali, muncullah pasukan Salib yang dipimpin oleh anak-anak Raja Godfrey dari Lorraine Perancis, Bohemund dari Normandy dan Raymond dari Toulouse. Mereka berkumpul di Konstantinopel dengan kekuatan 150,000 tentera, kemudian menyeberang selat Bosfur dan melanggar wliayah Islam bagaikan air bah. Pasukan kaum Muslimin yang hanya seramai 50,000 orang bertahan mati-matian di bawah pimpinan Sultan Kalij Arselan.
Satu persatu kota dan Benteng kaum Muslimin jatuh ke tangan kaum Salib, memaksa Kalij Arselan berundur dari satu benteng ke benteng yang lain sambil menyusun kekuatan dan taktik baru. Bala bantuan kaum Salib datang mencurah-curah dari negara-negara Eropah. Sedangkan Kalij Arselan tidak dapat mengharapkan bantuan dari wilayah-wilayah Islam yang lain, kerana mereka sibuk dengan kemelut dalaman masing-masing.
Setelah berlaku pertempuran sekian lama, akhirnya kaum Salib dapat mengepung Baitul Maqdis, tapi penduduk kota Suci itu tidak mahu menyerah kalah begitu saja. Mereka telah berjuang dengan jiwa raga mempertahankan kota Suci itu selama satu bulan. Akhirnya pada 15 Julai 1099, Baitul Maqdis jatuh ke tangan pasukan Salib, tercapailah cita-cita mereka. Berlakulah keganasan luar biasa yang belum pernah terjadi dalam sejarah umat manusia. Kaum kafir Kristian itu telah menyembelih penduduk awam Islam lelaki, perempuan dan kanak-kanak dengan sangat ganasnya. Mereka juga membantai orang-orang Yahudi dan orang-orang Kristian yang enggan bergabung dengan kaum Salib. Keganasan kaum Salib Kristian yang sangat melampau itu telah dikutuk dan diperkatakan oleh para saksi dan penulis sejarah yang terdiri dari berbagai agama dan bangsa.
Seorang ahli sejarah Perancis, Michaud berkata: “Pada saat penaklukan Jerussalem oleh orang Kristian tahun 1099, orang-orang Islam dibunuh di jalan-jalan dan di rumah-rumah. Baitul Maqdis tidak punya tempat lagi bagi orang-orang yang kalah itu. Beberapa orang cuba mengelak dari kematian dengan cara menghendap-hendap dari benteng, yang lain berkerumun di istana dan berbagai menara untuk mencari perlindungan terutama di masjid-masjid. Namun mereka tetap  tidak dapat menyembunyikan diri dari buruan orang-orang Kristian itu.
Tentera Salib yang menjadi tuan di Masjid Umar, di mana orang-orang Islam cuba mempertahankan diri selama beberapa lama menambahkan lagi adegan-adegan yang mengerikan yang menodai penaklukan Titus. Tentera infanteri dan kaveleri lari tunggang langgang di antara para buruan. Di tengah huru-hara yang mengerikan itu yang terdengar hanya rintihan dan jeritan kematian. Orang-orang yang menang itu memijak-mijak tumpukan mayat ketika mereka lari mengejar orang yang cuba menyelamatkan diri dengan sia-sia.
Raymond d’Agiles, yang menyaksikan peristiwa itu dengan mata kepalanya sendiri mengatakan: “Di bawah serambi masjid yang melengkung itu, genangan darah dalamnya mencecah lutut dan mencapai tali kekang kuda.”
Michaud berkata: “Semua yang tertangkap baki dari serangan pertama, semua yang telah ditawan untuk mendapatkan tebusan, dbunuh dengan kejam. Orang-orang Islam itu dipaksa terjun dari puncak menara dan bumbung-bumbung rumah, mereka dibakar hidup -hidup  , diheret dari tempat peersembunyian bawah tanah, diheret ke hadapan umum dan dikorbankan di tiang gantungan.
Air mata wanita, tangisan kanak-kanak, begitu juga pemandangan dari tempat Yesus Kristus memberikan ampun kepada para algojonya, sama sekali tidak dapat meredhakan nafsu membunuh orang-orang yang menang itu. Penyembelihan itu berlangsung selama seminggu. Beberapa orang yang berjaya melarikan diri, dimusnahkan atau dikurangkan bilangannya dengan perhambaan atau kerja paksa yang mengerikan.”
Gustav Le Bon telah menyifatkan penyembelihan kaum Salib Kristian sebagaimana kata-katanya: “Kaum Salib kita yang “bertakwa” itu tidak memadai dengan melakukan berbagai bentuk kezaliman, kerosakan dan penganiayaan, mereka kemudian mengadakan suatu mesyuarat yang memutuskan supaya dibunuh saja semua penduduk Baitul Maqdis yang terdiri dari kaum Muslimin dan bangsa Yahudi serta orang-orang Kristian yang tidak memberikan pertolongan kepada mereka yang jumlah mencapai 60,000 orang. Orang-orang itu telah dibunuh semua dalam masa 8 hari saja termasuk perempuan, kanak-kanak dan orang tua, tidak seorang pun yang terkecuali.
Ahli sejarah Kristian yang lain, Mill, mengatakan: “Ketika itu diputuskan bahawa rasa kasihan tidak boleh diperlihatkan terhadap kaum Muslimin. Orang-orang yang kalah itu diheret ke tempat-tempat umum dan dibunuh. Semua kaum wanita yang sedang menyusu, anak-anak gadis dan anak-anak lelaki dibunuh dengan kejam. Tanah padang, jalan-jalan, bahkan tempat-tempat yang tidak berpenghuni di Jerusssalem ditaburi oleh mayat-mayat wanita dan lelaki, dan tubuh kanak-kanak yang koyak-koyak. Tidak ada hati yang lebur dalam keharuan atau yang tergerak untuk berbuat kebajikan melihat peristiwa mengerikan itu.”
Jatuhnya kota Suci Baitul Maqdis ke tangan kaum Salib telah mengejutkan para pemimpin Islam. Mereka tidak menyangka kota Suci yang telah dikuasainya selama lebih 500 tahun itu boleh terlepas dalam sekelip mata. Mereka sedar akan kesilapan mereka kerana berpecah belah. Para ulama telah berbincang dengan para Sultan, Amir dan Khalifah agar mengambil berat dalam perkara ini.
Usaha mereka berhasil. Setiap penguasa negara Islam itu bersedia bergabung tenaga untuk merampas balik kota Suci tersebut. Di antara pemimpin yang paling gigih dalam usaha menghalau tentera Salib itu ialah Imanuddin Zanki dan diteruskan oleh anaknya Emir Nuruddin Zanki dengan dibantu oleh panglima Asaduddin Syirkuh.
Setelah hampir empat puluh tahun kaum Salib menduduki Baitul Maqdis, Solahuddin Al-Ayyubi baru lahir ke dunia. Keluarganya taat beragama dan berjiwa pahlawan. Ayahnya, Najmuddin Ayyub adalah seorang yang terkenal dan beliau pulalah yang memberikan pendidikan awal kepada Shalahuddin.
Panjang sangat. Takut korang jemu membacanya. Lagipun, mungkin ada yang nak berselawat, wirid, baca Quran di akhir Ramadhan ni. Anjang pun dah ngantuk. Kita sambung lain pasni ok… Bersambung….
Ikhwan Homestay Damsyik
11.09pm Ogo 23, 2011
Anjangmuor.wordpress.com

Tidak ada komentar:

Posting Komentar