Sabtu, 03 September 2011

Wahai Isteri, Taatlah jika dapat 50%


Wahai Isteri, Taatlah jika dapat 50% !

Ramadhan semakin meninggalkan kita. Dalam kesibukan menyediakan persiapan Hari Raya ini, saya mengambil kesempatan mengajak  kita  para isteri untuk terus berusaha taat kepada perintah Allah dengan taatkan suami setaatnya, suami yang Allah sudah jodohkan sejak azali lagi. Jika hal ini mudah dan tidak memberati wanita, tidaklah ia sangat dititikberatkan oleh Allah dan Rasul. Percayalah, jika seorang isteri itu mampu menjadi seperti chef yang memasak makanan terlazat menepati selera suaminya, menjadi ibu yang terbijak dan terbaik untuk anak-anaknya atau mampu menyelia rumah tangga sehingga serapi hotel lima bintang, atau dapat membantu suami mencukupkan nafkah keluarga, tetapi dalam hal perasaan dan psikologi suami, terutama soal seks diambil acuh tak acuh, rumah tangga tetap akan ada masalah. Seolah-olah isteri merasa, segala pengorbanannya dari lain-lain sudut itu kurang dibalasi dengan selayak-layaknya. Dalam Islam, seorang isteri harus redha dengan suami dari segala sudut selagi tidak melanggar perintah Allah. Namun jika yang satu ini beres, 1001 kebaikan dari suami akan datang sendiri, dengan Rahmat dan Kasih Sayang Allah. Kadang-kadang isteri tidak perasan di mana puncanya rumah tangga itu bermasalah, seperti ada yang tak kena sahaja setelah bertahun-tahun melayari bahtera perkahwinan. Mungkin isteri merasakan dia sudah melakukan yang terbaik, sepenuhnya, hampir 100%. Kemudian isteri mengambil kesimpulan, jika ada yang tak kena, semua kepincangan adalah berpunca dari suami yang pangkatnya adalah ketua keluarga. Benarkah  begitu? Baca di sini tentang soalan-soalan KTS yang dijawab oleh Ustazah Hatijah Aam.
Perkahwinan - Terkadang dipenuhi kuntuman mawar mekar mewangi, terkadang paku-paku tajam menyakitkan. Cukup bahagiakah dengan sekadar putik mawar atau mawar yang terkulai layu?

Kembalikan para suami kepada isteri-isteri supaya perceraian dapat di atasi.

Kembalikan suami kepada tanggungjawabnya supaya isteri-isteri mendapat pembelaan dan cinta.

Berikut adalah berdasarkan ringkasan dari satu artikel tulisan Ustazah Hatijah Aam.
Timbul persoalan. Bagaimanakah lesen maksiat begitu mudah diberikan, sedangkan penubuhan Kelab Taat Suami (KTS) dihalang habis-habisan?
Kelab Taat Suami (KTS) digerakkan oleh sekumpulan wanita yang merasa bertanggung jawab untuk melaksanakan cara hidup Islam di kalangan masyarakat Muslim.
Di dalam Islam, suami adalah pemimpin, isteri pula adalah pengikut. Tetapi umumnya, dalam rumahtangga orang Islam kini,  suami gagal menjadi pemimpin manakala isteri pula gagal menjadi pengikut. Fenomena ini tentunya akan menghasilkan rumahtangga yang goncang. Akibatnya masyarakat dan negara turut sama pincang dan bergelora, tiada lagi kemajuan dan wibawa.
Jalan keluar bagi masalah ini adalah suami harus berubah, begitu juga isteri, agar masing-masing dapat kembali berperanan selaras dengan tujuan perkahwinan. Namun timbul soalan, siapa yang perlu berubah dahulu?
Menurut Islam, mengubah isteri untuk taatkan suami jauh lebih sukar daripada mengubah suami supaya menjadi lelaki yang bertanggungjawab (bertimbang rasa dan penuh cinta). Dengan kata lain, seorang lelaki sebenarnya akan mudah untuk bertimbang rasa dan cinta kepada isteri bilamana isteri dapat  mentaatinya sekadar LIMA PULUH PERATUS  (50%) dan ke atas, berbanding keupayaan isteri untuk menjadi taat dan hormat seperti yang dikehendaki hadis, walaupun suami sudah menjadi begitu bertanggung jawab dan penuh kasih sayang.
Sewaktu upacara pernikahan. Kadhi@wali bagi pihak isteri  menyebut “Aku nikahkan dikau dengan (…………. ) …” Pihak suami menjawab “Aku terimalah nikahnya…” Maknanya wali menyerahkan anaknya kepada suami untuk meneruskan tugas penjagaan dengan bayaran mahar. Kenyataan ini sudahpun meminta si isteri untuk wajib taat kepada  suaminya.
Apahalnya yang bakal terjadi jika isteri selalu meremehkan keinginan seks suami padanya, walhal perkata itulah yang menjadi prioriti (keutamaan) sebuah perkahwinan? Apakah kesannya kepada psikologi dan watak suami, sedangkan keperluan BIOLOGI lelaki ini adalah suatu suatu ‘survival behaviour’ yang ditanamkan Allah secara fitrah kepada lelaki untuk meneruskan kesinambungan generasi keturunan manusia? Sedangkan keinginan wanita dan lelaki ada perbezaannya.
KTS memberanikan diri menentang arus yang sudah membelenggu sekian lamanya, yakni wanita secara tak sedar, menjadi ‘queen control’ dalam rumahtangga. Agak lazim, sekalipun isteri punya kelulusan dalam bidang agama Islam, seperti kebiasaan sebahagian besar wanita zaman sekarang, pantang ditegur. Padahal masakan mereka tidak tahu perasaan suami sendiri yang sekian lamanya merindui seorang isteri yang dapat taat 100 % kepadanya. Dan keinginan suami itu juga adalah  kehendak agama Islam, kehendak Allah dan Rasul.
KTS berani mengatakan isteri selalu meremehkan keinginan seks suami padanya, hasil kaji selidik kami. Hampir semua suami yang ditanya telah berkata, apa yang isteri berikan sekian lamanya hanyalah 10 % daripada keinginan seks suami padanya. Ertinya 10 % sahaja ketaatan yang dicurahkan.
Semua ini didapati adalah berpunca daripada salah faham tentang subjek seks di kalangan masyarakat Islam secara am. Seks dianggap memalukan, lucah, jijik, taboo. Nafsu suami dicop gatal, miang, kaki betina dan lain-lain. Akibat tiada kesedaran yang sebenar dalam hal seks menurut Islam, maka rumahtangga Islam telah dikira gagal untuk memberi kepuasan. Maka semakin majulah projek menghampiri zina yang ditaja oleh Yahudi seperti pornografi, yang boleh membawa kepada perogolan, perzianaan, seterusnya kes buang bayi, juga menjurus kepada mendatangi pelacur.
Dengan kata mudah, kalaulah isteri-isteri dapat berbuat 100% seperti seks tajaan Yahudi (selagi dibenarkan Islam) seperti layanan pekerja seks eksklusif kelas pertama kepada pelanggannya, nescaya akan indahlah jadinya rumahtangga Islam. Pelacuran di seluruh dunia adalah satu projek yang laris.
Demi menunaikan tanggungjawab, isteri sepatutnya lebih hebat melayan suaminya kerana Allah! Sebab status isteri bukannya pelacur tetapi sebagai bidadari atau isteri solehah. Bersabda Rasulullah saw : ‘Dunia ialah perhiasan. Secantik-cantik perhiasan ialah isteri solehah’.
Wanita, walaupun diciptakan dari hanya sebatang tulang rusuk bengkok Nabi Adam, te tapi ianya amat cantikCantiknya sampai membuatkan seorang lelaki sanggup membayar berapa sahaja demi mendapatkannya. Tetapi cantik tanpa solehah telah terbukti tidak mampu menghiburkan lagi. Sebab itulah KTS menganjurkan kursus agar  isteri solehah dapat  taat setaat-taatnya kepada suami demi menyelamatkan rumahtangga bahkan menjadikannya syurga yang disegerakan.
Kenapa KTS tidak berkata, ‘Tirulah isteri-isteri Nabi atau bidadari di syurga dalam hal melayani suami?’  Tetapi menggunakan perkataan jijik iaitu ‘tirulah pelacur. Budaya pelacuran yang masih belum dapat  ditangani  oleh pihak berkuasa itu?
Di zaman ini berapa orang yang tahu tentang isteri Nabi atau layanan seorang bidadari? Jangan-jangan mereka menyangka isteri-isteri Nabi tetap berpakaian atau berselimut untuk itu! Tetapi bila disebut pelacur kelas pertama, orang tahu bahawa PM dan Presiden pun terjelapak di kakinya kerana kehebatan layanan serta seksinya yang menjadi ketagihan.
Kursus isteri solehah mengutamakan wujudnya kesedaran yang mendalam di pihak isteri perihal kerjasama 100 % kepada perintah atau kehendak suami dalam semua hal terutamanya seks. Bagi orang ramai yang menginginkan kursus itu silalah hubungi KTS.
Kalau kita benar orang beragama tentulah  kita berazam untuk  melaksanakannya! Tapi kenapa orang yang katanya pakar dalam bidang agama, menentang semua ini? Beragama di kertas sahaja kot! Kalau benar sungguh beragama tentulah mampu taat, apatah lagi mengamalkan poligami.
Seks dalam Islam ialah ibadah dan sebesar-besar zikrullah. Melakukannya mendapat pahala dari Allah. Bayaran Allah itu, dikurniakan dalam bentuk berbagai jenis keuntungan dan keberkatan hidup, di  dunia mahupun di akhirat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar